mutakhir

Cuti terakhir

Oleh Ibrahim Isa

Muar: Seorang pensyarah dan ibunya maut, manakala dua lagi cedera parah apabila Toyota Altis dinaiki mereka dari Singapura terbabas sebelum merempuh pokok di Kilometer 138, Lebuhraya PLUS arah selatan berdekatan tol Pagoh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 7.10 malam itu, Lee Ting Kok, 55, dan ibunya Leong Ngiok Lan, 77, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Manakala, dua anak perempuan Lee masing-masing berusia 16 dan 18 tahun, cedera parah di muka serta anggota dalaman dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.

Ketika kejadian, Lee memandu kereta, manakala ibunya duduk di kerusi penumpang hadapan dan dua anak perempuan Lee duduk di belakang.

Saudara Lee yang enggan dikenali berkata, keluarga itu dalam perjalanan pulang ke Singapura selepas melawatnya di Kuala Lumpur pada 26 Disember lalu sempena cuti Hari Krismas.

Katanya, sebaik menerima panggilan telefon memaklumkan Lee maut dalam kemalangan itu, dia terkejut kerana beberapa jam sebelum kejadian mereka sempat menikmati makan tengah hari bersama.

“Kami sedih dengan kejadian ini kerana bukan saja meragut nyawa Lee dan ibunya, malah dua anak Lee kini dalam keadaan kritikal.

“Anak lelaki sulung Lee berusia 21 tahun kini menjalani Khidmat Negara (NS) di Singapura, namun sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), semalam.

Menurutnya, mayat dua beranak itu dituntut kakak Lee dan dibawa pulang ke republik itu untuk disemadikan.

Seorang saksi Jamal Abdul Nasir, 56, berkata dia sempat membantu orang ramai mengeluarkan mangsa sejurus kemalangan itu.

Katanya, kereta itu terbabas lalu melayang setinggi kira-kira dua meter sebelum merempuh pokok dan jatuh terhempas di kiri lebuh raya.

“Beberapa pengguna lebuh raya membantu mengeluarkan mangsa dan menghubungi balai polis bagi mendapatkan bantuan.

“Saya melihat wanita warga emas itu sudah meninggal dunia sejurus kejadian, namun pemandu masih bernyawa ketika dikeluarkan dari keretanya sebelum meninggal dunia beberapa minit kemudian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar Superintendan Muhammad Hanif Othman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kedua-dua mayat sudah dituntut keluarga, manakala dua anak Lee masih dirawat di ICU HSNI,” katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2014 @ 5:39am
d