mutakhir

'Mujur sempat papah isteri'

Balik Pulau: “Mujur saya sempat memapah isteri saya keluar dari rumah, jika tidak saya belum tahu apa nasib yang akan menimpanya kerana dia tidak dapat bergerak sendiri akibat lumpuh.

“Saya tidak menyangka ribut yang melanda malam tadi sangat kuat sehingga menerbangkan sebahagian bumbung serta merosakkan siling rumah kami,” kata Abdul Jalil Ishak, 54, mangsa ribut di Kampung Permatang Pasir, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, Abdul Jalil bersama isteri dan tiga anaknya yang berusia antara 12 dan 18 tahun berehat di rumah mereka.

Menurut Abdul Jalil, ketika kejadian dia menonton televisyen bersama dengan dua anaknya manakala seorang lagi anaknya sedang tidur.

“Apabila terdengar bunyi berdesing dari luar rumah, saya berasa tidak sedap hati lalu mengarahkan dua anak masuk ke bilik.

“Selepas lima minit, bunyi berkenaan tidak berhenti menyebabkan saya mengarahkan anak mengejutkan isteri saya yang tidur untuk keluar dari rumah kerana bimbang kejadian tidak diingini,” katanya.

Tindakan Abdul Jalil memapah isterinya yang lumpuh keluar dari rumah menyelamatkan wanita berkenaan apabila selang beberapa minit kemudian bumbung rumah mereka mula diterbangkan angin manakala serpihan jatuh ke dalam rumah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong Muhamad Farid Saad berkata, kejadian ribut berkenaan kali pertama berlaku dan amat dahsyat.

“Sebelum ini, angin yang kencang yang melanda kampung ini tidak membawa kerosakan teruk kepada rumah penduduk, namun kali ini amat berbeza kerana hampir 30 rumah penduduk di Kampung Permatang Pasir dan Sungai Rusa rosak dilanda angin kencang,” katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2014 @ 5:45am
d