mutakhir

Angin kencang lebih 3 jam

Oleh Hadzlihady Hassan dan Mohd Hilmi Mahmud

Balik Pulau: Ribut luar biasa yang melanda Balik Pulau, malam kelmarin bukan saja menggemparkan penduduk dan membuatkan mereka kecut perut, malah turut menjejaskan hampir 500 rumah di tujuh kampung di kawasan berkenaan.

Kejadian bermula jam 9 malam itu pada mulanya dianggap biasa oleh penduduk dengan ada antara mereka yang menonton televisyen, tidur dan berbual di rumah atau di kedai makan.

Angin kencang luar biasa lebih tiga jam itu membuatkan penduduk bimbang apabila bumbung rumah mereka diterbangkan selain dinding rosak akibat dihempap pokok tumbang, sekali gus bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Selepas lebih tiga jam, keadaan mula reda dan penduduk yang kediaman mereka terjejas kemudian mula berpindah dan berkumpul di masjid serta sekolah.

Difahamkan, kejadian itu kali pertama seumpamanya yang berlaku di kawasan terbabit hingga menjejaskan ratusan tempat tinggal penduduk termasuk menyebabkan sebahagian penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara kerana kediaman rosak teruk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang Datuk Shah Headan Ayoob Shah berkata, ribut yang melanda kawasan Balik Pulau itu agak luar biasa hingga menerbangkan bumbung rumah penduduk serta menyebabkan banyak kejadian pokok tumbang.

“Sebelum ini, pernah berlaku angin kencang, namun ia tidak begitu serius. Kali ini memang berbeza kerana angin kencang itu datang dari arah bukit dan sangat kuat.

“Selain rumah penduduk, masjid, sekolah dan gerai turut rosak dalam kejadian berkenaan, selain pokok tumbang di beberapa tempat,” katanya.

Seramai 23 keluarga ditempatkan di sebuah sekolah sebagai tempat tinggal sementara kerana rumah mereka rosak teruk dan pihaknya menyediakan dua tempat tinggal sementara kepada penduduk yang terjejas iaitu di Masjid Permatang Pasir dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rusa.

Disiarkan pada: December 31, 2014 @ 5:47am
d