mutakhir

Bukan cubaan lagi...

Kuala Lipis: “Ini betul-betul kejadian...bukan cubaan lagi,” demikian kata Lans Koperal Mohd Syaaban Nayan, 24, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, yang terselamat selepas bot dinaiki bersama dua lagi rakannya terbalik akibat terlanggar kabel boya selain dibadai arus deras Sungai Jelai ketika menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Kuala Kenong, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, dua lagi anggota dari IPD sama, Koperal Ahmad Raflee Nasir, 30 dan Koperal Sari Awan, 33, bersama Syaaban membawa muatan makanan seperti beras, sardin dan sayuran seberat kira-kira 200 kilogram menaiki bot gentian kaca dari jeti Jelai, di sini, untuk ke kampung berkenaan yang memakan masa kira-kira dua jam perjalanan.

Menceritakan detik cemas hampir meragut nyawa tiga anggota keselamatan terbabit, anak kelahiran Kuala Sanglang, Perlis, itu berkata, sebelum ini mereka sudah menjalani beberapa latihan persediaan bagi menghadapi bencana itu dikenali sebagai ‘Water Confident’.

“Namun, tragedi bot terlanggar kabel boya merintangi sungai yang digunakan penduduk untuk mengangkut barang pada hari itu amat menakutkan...ia kejadian sebenar bukan lagi latihan seperti kami buat sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, ketika dalam perjalanan sambil ‘ditemani’ arus deras Sungai Jelai, bot dinaiki mereka tiba-tiba terlanggar kabel boya menyebabkannya terbalik dan ketiga-tiga anggota polis terbabit terhumban ke dalam air.

“Saya dan Sari sempat berpaut pada kabel berkenaan, bagaimanapun Ahmad Raflee dibawa arus bersama bot sejauh kira-kira 50 meter.

“Kejadian berlaku begitu pantas, ketika itu kami bertiga sedang berbual,” katanya.

Syaaban berkata, mujur ketika kejadian, operasi menghantar bekalan makanan itu turut disertai tiga bot lagi daripada polis dan bomba termasuk Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan, berada dalam bot berasingan.

“Mereka menyelamatkan kami, namun kami terpaksa berpaut pada kabel itu kira-kira 10 minit juga, ketika itu arus memang deras.

“Rasa cemas ketika itu memang ada, namun latihan diberikan sebagai persediaan menghadapi banjir benar-benar membantu saya untuk bertindak ketika kecemasan seperti itu,” katanya.

Ahmad Raflee berkata, selepas tercampak ke dalam air dia hanyut dibawa arus bersama bot yang dinaiki.

Katanya, walaupun memakai jaket keselamatan namun perasaan bimbang tetap ada kerana arus sungai ketika itu kuat.

“Saya bimbang arus deras akan menyebabkan saya melanggar batu atau pokok yang mungkin mengakibatkan kecederaan atau lebih teruk lagi.

“Namun, nasib menyebelahi saya apabila dapat berpaut pada bot sebelum sebuah lagi bot polis datang menyelamatkan saya,” katanya yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, mereka memang mengetahui ada kabel boya setinggi 10 meter di sungai itu tetapi ia tidak kelihatan kerana paras air semakin meningkat selain penglihatan kurang jelas dan arus deras ketika kejadian.

Disiarkan pada: December 31, 2014 @ 6:21am
d