mutakhir

'Hanya tinggal rangka'

Kuala Krai: “Gugur air mata saya apabila melihat rumah milik ayah hanya tinggal rangka pintu dan tiang saja.

“Rumah ini banyak simpan kenangan saya dan adik-beradik, tetapi kenangan itu hanyut terus dibawa bah besar limpahan Sungai Lebir,” kata Mohd Saiful Mohd Noor, 51, dari Kampung Manek Urai Lama ketika ditemui di sini, kelmarin.

Dia yang pulang meninjau keadaan rumah bapanya, Mohd Noor Abdullah, 72, kelmarin, tidak dapat mengawal perasaan apabila melihat hanya tinggal beberapa struktur binaan manakala selebihnya sudah hilang.

Selain rumah Mohd Saiful, 50 rumah penduduk lain ranap manakala 30 lagi dipenuhi lumpur selepas tenggelam dalam air bah selama lebih lima hari.

Ketika tinjauan bersama Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa, kelmarin, penduduk dilihat mula membuang lumpur dalam rumah mereka dan tidak kurang juga yang hanya termenung meratapi nasib.

Penduduk mengutip dan mengasingkan barangan yang masih boleh berfungsi dan sudah rosak.

Di atas jambatan Sungai Lebir pula, kelihatan pelbagai kenderaan seperti motosikal, kereta serta pacuan empat roda saling bertindih, terbalik, kemek selain ada terbenam dalam sungai yang keadaannya tidak ubah seperti impak tsunami.

Boleh dikatakan, hampir keseluruhan kampung berkenaan termasuk Manek Urai Baru diselaputi lumpur dan masih tiada bekalan air dan elektrik.

Malah, stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad Manek Urai turut lenyap dan hanya tinggal tandas.

Difahamkan, limpahan air sungai yang membentuk laluan air atau alur membawa bersama arus deras menghanyutkan sebarang bentuk binaan meskipun diperbuat daripada bata.

Mohd Saiful berkata, banjir besar Selasa lalu dikenang sampai bila-bila.

Disiarkan pada: December 31, 2014 @ 6:22am
d