mutakhir

KPDNKK tubuh bilik gerakan bantuan banjir

Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menubuhkan Bilik Gerakan Bantuan Banjir bagi menyelaras segala bentuk keperluan berikutan banjir besar melanda Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan dan Johor.

Ketua Setiausahanya Datuk Seri Alias Ahmad berkata, bilik gerakan itu bukan sahaja di buka di Putrajaya, tetapi di semua ibu pejabat KPDNKK negeri seluruh negara yang akan beroperasi 24 jam bagi negeri terbabit banjir dan 8 pagi hingga 10 malam bagi negeri yang tidak terjejas dengan banjir.

Beliau berkata, bilik gerakan itu akan membantu dari segi logistik dan penguatkuasaan selain turut bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi lain bagi menyelesaikan isu bekalan barangan kawalan bagi kegunaan mangsa banjir.

“Selain itu, kami turut menubuhkan tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pembekalan Makanan dan Barang Keperluan, Jawatankuasa Pasca Banjir dan Jawatankuasa Komunikasi.

“Jawatankuasa Pembekalan Makanan dan Barang Keperluan berfungsi bagi menentukan bekalan makanan dan barangan keperluan mencukupi dan mudah diperoleh pengguna pada harga berpatutan sepanjang musim banjir ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini semalam.

Alias berkata, pihaknya juga akan memastikan sepuluh barangan kawalan seperti beras, garam, gula, tepung, minyak masak, sardin, susu pekat dan tepung mencukupi selain minyak petrol, diesel dan gas LPG.

Beliau berkata, pihaknya turut menyenaraikan lilin, air bersih dan lampin bayi pakai buang sebagai barang keperluan tambahan.

Menurutnya, Jawatankuasa Pasca Banjir pula akan berperanan membantu dari aspek pembersihan di kawasan terjejas banjir dengan menggerakkan Skuad Pengguna daari seluruh negara.

“Buat masa ini, terdapat 230,000 ahli Skuad Pengguna di seluruh negara yang turut membuat pemantauan harga. Mereka ini akan dihantar untuk melakukan kerja sukarelawan bagi melicinkan aktiviti pembersihan di kawasan terjejas.

“Selain kakitangan KPDNKK, sukarelawan turut disertai ahli Puspanita KPDNKK, kakitangan agensi di bawah kementerian dan badan bukan kerajaan (NGO) penjaja dan pengguna,” katanya.

Katanya, Jawatankuasa Komunikasi pula akan berperanan menyampaikan makkumat terkini mengenai isu berkaitan kepada orang ramai melalui saluran media massa serta media sosial.

Menurutnya, bilik gerakan ini boleh dihubungi melalui talian 03-88826245 atau 03-88826088 atau menerusi e-mel blkgerakan.kpdnkk@1govuc.gov.my atau muhamadzamani@kpdnkk.gov.my.

Disiarkan pada: December 31, 2014 @ 6:34am
d