mutakhir

Kediaman sementara berbentuk blok

Kota Bharu: Kediaman sementara berbentuk blok akan dibina di Kelantan khususnya di Kuala Krai dan Gua Musang yang terjejas teruk akibat banjir minggu lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kediaman itu akan dibina dalam tempoh terdekat untuk menempatkan mangsa banjir yang kehilangan rumah.

“Saya sudah minta supaya taksiran secara kasar dibuat serta merta, pertama sekali saya nak tahu rumah yang musnah sama sekali. Kita perlu tahu sebab tindakan yang bakal kita ambil dalam waktu terdekat ini iaitu membina rumah sementara.

“Mungkin dalam bentuk blok sementara supaya mereka boleh mendiami tempat-tempat dan menikmati kemudahan secara sementara sebelum dapat kita tentukan tempat kediaman secara kekal atau tetap.

“Perkara ini kita perlu runding dengan kerajaan negeri sebab tapak yang baru perlu dikenal pasti dan tapak ini mestilah di tempat yang lebih selamat lagi,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau diiringi Pengerusi Jawatankuasa Operasi Bencana Banjir Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin meninjau serta melawat mangsa banjir di Kuala Krai dan Gua Musang.

Beliau turut mendengar taklimat mengenai operasi Hospital Kuala Krai sepanjang lima hari dalam keadaan banjir serius.

Mengulas lanjut, Najib berkata, semua kediaman khususnya setinggan yang hendak dibina di tebing atau tanah rizab sungai tidak boleh dibenarkan berikutan terdedah kepada bahaya.

“Rumah-rumah setinggan di tebing sungai atau rizab sungai tidak boleh dibenarkan sebab terdedah kepada ancaman banjir,” katanya.

Selain itu, beliau juga berkata, peniaga di bandar yang terjejas teruk termasuk Kuala Krai dan Gua Musang yang masih ditutup sehingga kini akan diberi bantuan.

Katanya, itu antara bantuan lain yang dalam pertimbangan kerajaan untuk meringankan beban mangsa, malah menjangkakan semua kos perbelanjaan yang akan ditanggung kerajaan akibat kejadian tidak dijangka lebih tinggi daripada perbelanjaan biasa.

Disiarkan pada: December 31, 2014 @ 6:36am
d