mutakhir

Bapa kru reda suratan takdir

Surabaya: “Saya reda dan menerimanya dengan hati terbuka jika benar dakwaan penemuan serpihan pesawat dinaiki anak saya,” kata bapa kepada kru pesawat AirAsia Indonesia QZ8501, Khairunisa Haidar Fauzi dari Palembang.

Kata-kata itu diluahkan lelaki terbabit kepada pegawai bertugas di Pusat Krisis di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, di sini.

Malah dia turut menyatakan sejak kejadian itu dia tidak berhenti membaca surah Yasin dan al-Quran memohon petunjuk daripada Allah.

Wartawan yang membuat pemerhatian dari tepi pusat itu turut terdengar perbualannya dengan pegawai bertugas terbabit.

Ahli keluarga yang setia menunggu perkembangan terkini di pusat itu masih dalam keadaan tenang, walaupun terdapat laporan penemuan beberapa objek di Pangkalan Bun.

Suasana di pusat itu masih dalam keadaan terkawal dengan ratusan waris dan ahli keluarga terus menunggu maklum balas daripada pihak berkenaan.

Pemerhatian wartawan dari luar pusat mendapati Ketua Badan SAR Nasional (BASARNAS) di Surabaya, M Hernanto memberikan taklimat, manakala pegawai penerbangan AirAsia Indonesia menenangkan perasaan waris keluarga pesawat malang itu.

Malah, jelas kedengaran dari dalam bilik itu suara meminta ahli keluarga bersabar dan meminta mereka bertenang ketika siaran televisyen media tempatan menayangkan gambar serpihan dari kawasan pencarian.

Cubaan untuk menemubual waris keluarga belum berhasil.

Disiarkan pada: December 31, 2014 @ 6:51am
d