mutakhir

Hilang kawalan ambil selekoh

Shah Alam: Seorang pemandu treler nyaris maut apabila kenderaan membawa muatan besi itu terbalik di jejambat Persiaran Jubli Perak menuju ke arah Batu 3 di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Lau, 42, memberitahu lori dipandu hilang kawalan ketika melalui selekoh di jejambat itu.

Menurutnya, dia cuba memperlahankan kenderaan dipandunya, namun muatan besi berkenaan menggelungsur ke bahagian kiri lori menyebabkan lori hilang kawalan sebelum terbalik.

“Saya cemas seketika apabila treler terbalik, namun bernasib baik apabila tidak mengalami sebarang kecederaan. Malah, treler ini juga hampir jatuh dari jejambat.

“Jika saya pandu laju mungkin kenderaan ini terjunam jatuh ke Lebuhraya Persekutuan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Sementara itu Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik IPD Shah Alam Deputi Superintendan Goh Lee Shen mengesahkan kejadian berkenaan dan mengerahkan anggota trafik untuk mengawal kesesakan lalu lintas.

Disiarkan pada: December 31, 2014 @ 7:08am
d