mutakhir

'Cari suami main judi'

Oleh Mohamad Hussin

Alor Setar: Helah dua wanita berpura-pura kononnya datang ke premis perjudian di pusat bandar raya ini untuk memanggil suami mereka pulang ke rumah tidak menjadi apabila mereka antara sembilan yang ditahan dalam serbuan Ops Dadu di tiga lokasi di bandar raya ini, malam kelmarin.

Dalam operasi bermula jam 10 hingga 12 tengah malam, sepasukan anggota dan pegawai polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melakukan serbuan di tiga premis di Simpang Kuala, Shahab Perdana dan Lebuhraya Darul Aman, di sini, yang menawarkan permainan judi.

Difahamkan, pemilik premis itu berselindung di sebalik kedai menjual barangan permainan bagi menjalankan kegiatan perjudian untuk mengabui mata pihak berkuasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Asisten Komisioner Nashir Ya berkata, kedua-dua wanita berusia 40-an itu asyik bermain mesin slot sehingga tidak menyedari kehadiran pihak berkuasa yang membuat serbuan ke premis itu.

“Sebaik serbuan dilakukan mereka berpura-pura datang untuk memanggil suami pulang ke rumah. Namun helah mereka tidak menjadi.

“Selepas disoal siasat, suami mereka tiada di dalam premis berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Ops Dadu, di sini, malam kelmarin.

Nashir berkata, pihaknya merampas lapan mesin simulator digunakan untuk pertaruhan kerana pemilik menggunakan lesen premis hiburan untuk permainan snuker.

“Kita menahan sembilan lelaki dan dua wanita berusia antara 23 hingga 54 tahun kerana bermain mesin judi di tiga premis berkenaan.

“Mesin simulator yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2015 @ 6:55am
d