mutakhir

Tidur dalam kereta risau kenderaan dihanyut arus

Tumpat: “Saya terpaksa tidur dalam kereta kerana risau ia mungkin tenggelam atau hanyut dibawa arus.

“Sekurang-kurangnya jika keadaan teruk, saya masih sempat mengalihkannya,” kata peniaga kereta terpakai Zaidi Dollah, 47, ketika ditemui di kedainya, di sini, semalam.

Zaidi dari Kampung Baru, Pasir Pekan, di sini, berkata, banjir teruk minggu lalu mengakibatkan lapan kereta pelbagai model jualannya ditenggelami air lebih satu meter.

Katanya, lima kenderaan terbabit adalah kereta import iaitu Mercedes Benz, BMW, Honda dan Mazda manakala tiga lagi model tempatan Proton Wira dan Saga.

Beliau berkata, dalam kejadian Khamis lalu, terdapat lapan kereta pelbagai model dalam kedainya ditenggelami air.

Katanya, lima buah daripadanya termasuk dalam kategori kereta mewah dan tiga lagi kereta tempatan.

“Banyak juga kos yang terpaksa dikeluarkan untuk baik pulih dan mencuci bahagian dalaman kereta. Mujur ada rakan-rakan yang sanggup tolong dan hanya kenakan caj berpatutan.

“Untuk kereta mewah, lebih kurang RM1,000 diperlukan untuk baik pulih seperti tukar minyak gear, tukar minyak silinder dan bersihkan bahagian dalaman,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2015 @ 7:33am
d