mutakhir

Tukang urut dituduh aniaya anak angkat

Johor Bahru: Seorang tukang urut dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan menganiaya anak angkatnya yang berusia lima tahun sehingga mendatangkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.

Tertuduh, Asanam Beevi V Mohamed Yusoff, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan yang dihadapinya itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Salina Omar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang mempunyai hak penjagaan terhadap kanak-kanak perempuan itu didakwa menganiayai mangsa sehingga mengalami kecederaan fizikal yang dilakukan di sebuah rumah di No. 02-07, Blok G, Jalan Susur Bali 1, Jalan Persiaran Barli, Bandar Baru Uda di sini, pada jam 6.45 petang, pada 24 Disember lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh yang hadir memakai kemeja-T kelabu itu didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 3(1) akta yang sama.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, berdepan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum 100 tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Dzul Iswari Mohd Jaafar mencadangkan jaminan RM10,000 selepas mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan tertuduh diikat jamin.

Bagaimanapun, Dzul Iswari memohon perintah mahkamah untuk tidak membenarkan tertuduh mendekati, berhubung atau berkomunikasi dengan mangsa sehingga kes selesai bagi keselamatan kanak-kanak itu.

Majistret kemudian bersetuju dengan cadangan itu dan membenarkan tertuduh yang bekerja di Singapura itu diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 14 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: January 1, 2015 @ 7:34am
d