mutakhir

Lelaki lagak kerabat disebat

Johor Bahru: Seorang pemandu lori dihukum penjara sembilan tahun dan 16 sebatan oleh dua Mahkamah Majistret berasingan, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah bagi 16 pertuduhan menipu lima individu dengan cara menggelarkan diri sebagai kerabat diraja Johor bernama Tengku Putra Raja Sulaiman.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias menjatuhkan hukuman penjara setahun dan satu sebatan setiap satu bagi sembilan pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Keputusan itu dibuat selepas Mohd Firdaus Abdullah, 28, mengaku salah bagi sembilan tuduhan menipu warga emas, Eaishah Sulaiman, 61, dengan memperdayakan wanita itu bahawa tertuduh boleh mendapatkan bantuan warga emas daripada pihak Istana Diraja Johor sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM32,080.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Pos Besar Johor Bahru, Pejabat Pos Kulai, Pejabat Amanah Saham Bumiputera (ASB) Bandar Baru Uda, Maybank Kulaijaya dan Bank Simpanan Nasional (BSN) Jalan Segget, di sini, antara 17 April hingga 10 September lalu.

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan secara lisan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Farhana Adham, tertuduh memberitahu mangsa ingin mencari keluarga angkat selepas kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia dan dengan menggelarkan diri sebagai kerabat diraja Johor.

Di mahkamah berasingan pula, Majistret Salina Omar menjatuhkan hukuman penjara setahun dan satu sebatan untuk tujuh pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Salina turut memerintahkan hukuman berkenaan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditahan pada kelmarin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh mengaku bersalah menipu Mohd Afandi Zakaria dengan memberitahu boleh mendapatkan rumah kos rendah atas bantuan kerabat diraja Johor sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM1,350 di Taman Jaya Putra Perdana, di sini, pada 10 Disember lalu.

Disiarkan pada: January 1, 2015 @ 7:35am
d