mutakhir

Harga petrol turun 35 sen

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Harga baru runcit bagi petrol RON95 ditetapkan pada RM1.91 seliter, manakala RON97 ditetapkan RM2.11 seliter sementara diesel RM1.93 seliter berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam tadi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata, pengumuman harga baru runcit itu menunjukkan penurunan bagi harga RON95 dan RON97 iaitu masing-masing 35 sen seliter manakala diesel turun 30 sen seliter.

Menurutnya, harga baru yang diumumkan itu adalah berkuat kuasa bagi Januari 2015.

“Kerajaan mengikuti perkembangan pasaran harga kos produk dan kadar pertukaran mata wang setiap masa untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel bagi bulan berikutnya.

“Justeru, semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak diingatkan mematuhi penetapan harga baru ini dan tindakan tegas diambil jika mereka melanggar peraturan (harga baru) yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Pada 21 November lalu, kerajaan memutuskan penetapan harga runcit RON95 dan diesel adalah mengikut pengapungan terkawal bermula 1 Disember lalu.

Sebelum ini, harga RON95 ditetapkan harga RM2.26 seliter dan diesel RM2.23 seliter manakala, RON97 adalah RM2.46 seliter bagi bulan Disember 2014.

Terdahulu, Hasan pada sidang media selepas lawatannya di Stesen Minyak Petronas Presint 16 di sini, semalam berkata, pihaknya memberi keutamaan bekalan minyak dan diesel di negeri terjejas banjir dalam memastikan ia mencukupi untuk keperluan penduduk di situ.

“Kami memberikan keutamaan kepada negeri yang terbabit banjir bekalan minyak dan diesel ini tidak terputus.

“Sebelum ini, mereka menghadapi bekalan ketika banjir antaranya disebabkan masalah terputus hubungan laluan menyebabkan minyak dan diesel sukar dihantar,” katanya.

Pada masa sama, Hasan memberi amaran kepada pengusaha stesen minyak yang sengaja memberi alasan kehabisan stok bekalan minyak dan diesel dikenakan tindakan tegas.

Disiarkan pada: January 1, 2015 @ 8:08am
d