mutakhir

DVI ambil sampel DNA waris

Surabaya: Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Polis Daerah Jawa Timur mengambil sampel DNA waris dan ahli keluarga untuk mengenal pasti identiti ketika proses pemindahan mayat pesawat malang AirAsia Indonesia QZ8501 memasuki hari kedua.

Ketua DVI Jawa Timur Komisioner Budiyono berkata, maklumat membabitkan 15 orang daripada 93 keluarga itu sudah dilengkapkan sejak hari pertama kejadian dan pihaknya menjangka ia akan bertambah pada hari Rabu.

“Mengikut SOPnya, maklumat yang diperlukan adalah gambar mangsa, rekod perubatan, sampel DNA dan ciri fizikal mangsa.

“Maklumat ini penting untuk memudahkan proses pengecaman mangsa dan urusan untuk menyerahkan (mayat) kepada keluarga secepat mungkin,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Krisis di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, semalam.

Beliau berkata, pihaknya sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menerima jenazah penumpang dan kru pesawat itu sebaik tiba di medan tempat letak kenderaan lapangan terbang ini.

Laporan media menyebut tujuh mayat membabitkan empat lelaki dan tiga wanita termasuk seorang kru penerbangan, kini dalam proses untuk dibawa keluar pasukan misi mencari dan menyelamat di Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, kira-kira sejam penerbangan dari Surabaya.

Cuaca buruk termasuk ombak setinggi tiga meter menjejaskan operasi itu untuk mencari baki mayat penumpang pesawat yang dalam perjalanan ke Singapura itu.

Budiyono berkata, semua mangsa terkorban akan ditempatkan di Hospital Bhayangkara, Surabaya, kira-kira 30 kilometer dari lapangan terbang, untuk proses bedah siasat dan mengenal pasti identiti.

Katanya, hospital itu juga sudah dipersiapkan dan mencukupi untuk menampung mangsa membabitkan sebanyak 150 ruang dilengkapi pendingin hawa jika jenazah tiba nanti.

“Kami juga mendapat kerjasama pelbagai pihak yang menawarkan diri seperti doktor (peribadi dan swasta), ahli forensik dan sukarelawan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan yang pusat krisis di lapangan terbang itu akan dipindahkan ke Hospital Bhayangkara, namun semuanya bergantung kepada keadaan.

Tinjauan mendapati ada kira-kira 130 ambulans disediakan di lapangan terbang itu, yang akan membawa jenazah ke hospital kerana tiada hangar disediakan untuk menyimpan jenazah.

Bersebelahan pusat krisis itu pula, ada kakitangan perubatan sedang mengendalikan urusan mendapatkan cap jari, data dan biometrik waris dan ahli keluarga pesawat itu termasuk warga asing. - BERNAMA

Disiarkan pada: January 1, 2015 @ 8:23am
d