mutakhir

Unit udara JBPM pindah 8 pesakit buah pinggang

Subang: Seramai lapan individu yang menghidap penyakit buah pinggang diterbangkan ke Lapangan Terbang Subang menggunakan khidmat khas Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), semalam.

Pegawai Laksana Pangkalan Udara JBPM Penguasa Kanan Bomba 1 Muhammad Saiful Nizam Samsudin berkata, pihaknya menerima permohonan khidmat berkenaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membawa pesakit mendapatkan rawatan.

“KKM memohon pihak kami memindahkan lapan pesakit buah pinggang masing-masing enam perempuan dan dua lelaki berusia 24 hingga 66 tahun yang memerlukan rawatan dialisis dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, ke Hospital Serdang, Selangor.

“Ini berpunca mesin dialisis di HUSM tidak mampu untuk menampung jumlah pesakit yang meningkat ekoran kebanyakan pesakit dari hospital lain turut dipindahkan ke HUSM,” katanya.

Menurutnya, semua pesakit diterbangkan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kelantan, dengan menggunakan dua helikopter Agusta AW139 dan tiba di Lapangan Terbang Subang jam 6.30 petang.

“Sejak bencana banjir melanda beberapa negeri di pantai timur, pihak kami sudah melakukan kira-kira lima penerbangan untuk membawa pesakit. Perkara ini memang menjadi keutamaan kami,” katanya.

Sementara itu, doktor yang mengiring pesakit itu, Dr Liu Yee Tak berkata, mesin untuk rawatan dialisis pesakit buah pinggang agak terhad sedangkan ramai pesakit memerlukan rawatan dialisis sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

“Rawatan dialisis dilakukan untuk membuang sisa metabolisma dan lebihan cecair agar tidak berkumpul di dalam tubuh serta menjaga tubuh badan supaya sentiasa berada dalam keadaan yang seimbang.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak bomba kerana memberi komitmen penuh kepada KKM untuk memindahkan pesakit ke hospital yang mempunyai peralatan dan pakar yang sepatutnya,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2015 @ 8:40am
d