mutakhir

Bekalan darah A, AB amat kritikal

Kuala Lumpur: Bekalan darah jenis A dan AB tidak mencukupi bagi menampung keperluan pesakit terutama di negeri terjejas banjir, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Justeru, beliau merayu orang ramai menderma darah dengan segera di Unit Bergerak Kempen Menderma Darah berhampiran ataupun Pusat Darah Negara kerana bekalan darah terutama kedua-dua jenis itu kini semakin berkurangan.

“Saya merayu kepada masyarakat untuk tampil menderma darah bagi membantu hospital yang kekurangan bekalan darah jenis A dan AB. Pendermaan boleh dilakukan di mana-mana negeri dan bukan hanya di negeri terjejas banjir sahaja.

“Setakat ini, darah jenis lain masih mencukupi, namun bagi darah jenis A dan AB, ia tidak mencukupi dan penggunaannya terutama untuk hospital di negeri terjejas banjir amat kritikal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Kelahiran Bayi Tahun Baharu 2015 di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini semalam.

Sebelum itu, Dr Hilmi yang diiringi Pengurus Besar Disponsible Soft Goods (DSB)(M) Sdn Bhd, Low Chooi Hoon dan Timbalan Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Dr T.P. Baskaran, melawat beberapa bayi tahun baharu yang dilahirkan sejak 12.04 pagi tadi.

Sementara itu, Low berkata, penajaan lampin bayi itu merupakan julung kali diadakan secara besar-besaran kerana ia dikatakan bersesuaian dengan sensitiviti kulit bayi yang baharu lahir terutama di bahagian pusat yang memerlukan masa lama untuk sembuh.

Setakat 3 petang semalam, seramai 15 bayi dilahirkan iaitu lapan lelaki dan tujuh perempuan. - BERNAMA

Disiarkan pada: January 2, 2015 @ 8:40am
d