mutakhir

Wujud kurikulum didik jauhi rasuah

Kuala Lumpur: “Perlunya nilai moral, etika dan integriti yang tinggi diterapkan dengan lebih proaktif bagi menjamin pentadbiran cekap, bersih dan telus,” kata Ahli Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye.

Usaha berterusan perlu dibuat bagi memupuk nilai berkenaan ke arah memastikan tiada individu terjebak dengan perlakuan rasuah walau dalam apa keadaan sekalipun.

“Antara promosi yang boleh dilakukan termasuk mewujudkan media bebas bagi membongkar kegiatan rasuah di negara ini dan menyemai nilai positif dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi mengenai ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

“Saya juga mencadangkan satu kurikulum diwujudkan di sekolah untuk mendidik murid mengenai keburukan rasuah dan mengapa ia tidak boleh dibiarkan.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh memainkan peranan untuk memupuk nilai positif dalam diri bakal pendidik yang menjalani latihan perguruan supaya dapat disampaikan kepada pelajar mereka kelak,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam sektor awam khasnya, pegawai yang terbabit dalam aktiviti rasuah kebanyakannya terdiri daripada pegawai dan anggota penguatkuasaan undang-undang.

Bagi membasmi amalan ini, beliau menyarankan semua agensi penguatkuasaan mempunyai satu sistem kawalan dalaman yang boleh mengesan penyelewengan.

Disiarkan pada: January 2, 2015 @ 8:43am
d