mutakhir

Dibedil 2 lelaki bermotor

Ipoh: Seorang pekerja estet nyaris maut selepas ditembak dari jarak dekat ketika menunggang motosikal di Persiaran Kamuning, Jalan Lintang, Sungai Siput, dekat sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, pemuda berusia 26 tahun itu dikatakan sedang dalam perjalanan ke sebuah restoran sebelum dihampiri dua lelaki menaiki motosikal dan kemudian melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, satu daripada tembakan terbabit mengenai mangsa namun mangsa bagaimanapun berjaya melarikan diri sebelum ke rumah rakannya untuk mendapatkan bantuan.

“Siasatan awal mendapati, mangsa seorang lelaki India dipercayai dalam perjalanan ke restoran berdekatan sebuah pasar raya dan semasa menunggang motosikal seorang diri, melalui Jalan Lintang, secara tiba-tiba muncul sebuah motosikal jenis Honda EX5 dinaiki oleh dua lelaki dan berada di sisi kanan mangsa yang terus melepaskan tiga das tembakan.

“Tembakan mengenai pada bahagian lengan kanan serta sisi kanan bahagian belakang badan mangsa dan selepas kejadian ditembak mangsa terus ke rumah kawannya untuk minta bantuan ke hospital,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyampaian Bantuan Banjir Polis Kontinjen Perak, di sini semalam.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Ladang Sungai Siput, dekat sini kini dirawat di hospital dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Disiarkan pada: January 2, 2015 @ 8:49am
d