mutakhir

10,000 polis bantu kerja pembersihan

Alor Setar: Polis menambah bilangan anggotanya bagi membantu menjalankan kerja pembersihan pasca banjir di tiga negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, 10,000 anggotanya terbabit untuk membantu kerja pembersihan akibat banjir besar yang melanda di negeri Pantai Timur selepas air surut.

Beliau berkata, kerja pembersihan selepas banjir bukan tugas yang mudah kerana kawasan yang ditenggelami air meninggalkan kesan lumpur yang tebal.

“Selain itu, 24 balai polis di tiga negeri Pantai Timur turut ditenggelami air menyebabkan rumah 4,500 keluarga anggota dan pegawai polis turut dimasuki air. Daripada jumlah itu, 19 daripadanya membabitkan balai polis di Kelantan, empat di Terengganu dan satu di Pahang.

“Justeru, kami memerlukan tenaga kerja yang ramai memudahkan tugas pembersihan dilakukan dengan cepat dan mudah,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, semalam.

Noor Rashid berkata, pihaknya menjangkakan ramai mangsa banjir membuat laporan polis untuk membuat tuntutan insurans disebabkan kerosakan harta benda.

Disiarkan pada: January 2, 2015 @ 9:02am
d