mutakhir

Haiwan terperangkap tak makan

Kuantan: Ribuan ternakan termasuk lembu dan kambing milik penduduk Kampung Semangat di sini, kelaparan hingga ada yang hampir mati apabila banyak kawasan padang ragut ditenggelami banjir seminggu.

Air yang naik begitu cepat menyebabkan haiwan berkenaan terperangkap di beberapa kawasan tinggi dalam ladang sawit termasuk di sekitar kampung berkenaan.

Ketua Kampung Semangat Mohd Alim Daut, 54, berkata, ramai penduduk menternak lembu dan kambing secara bebas di kawasan padang ragut dan ladang sawit di kampung itu.

Katanya, kebanyakan penternak tidak sempat memindahkan haiwan ternakan mereka kerana tidak menyangka banjir besar berlaku dalam tempoh agak lama hingga hari ini.

Menurutnya, kebanyakan lembu dan kambing yang terselamat berada di tempat tinggi di sekitar kampung, namun disebabkan ketiadaan makanan mungkin haiwan itu akan mati lagi jika banjir masih tidak surut.

“Ada penternak berusaha menyelamatkan haiwan ternakan mereka dengan menyediakan rumput dan makanan tambahan tetapi masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan setiap hari,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mohd Alim yang turut mempunyai lebih 100 lembu berkata, kejadian banjir kali ini dianggap luar biasa apabila berlaku beberapa kali dan kemuncaknya tiga hari lalu hingga hari ini.

“Paras air yang dalam menyebabkan hampir keseluruhan Kampung Semangat ditenggelami banjir,” katanya.

Menurutnya, bagi menyelamatkan lembu dan kambing milik penduduk, beliau merayu Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang membantu dengan menyediakan makanan tambahan.

Katanya, jika bantuan gagal diterima, tidak mustahil haiwan terbabit mati dalam tempoh beberapa hari lagi.

Seorang lagi Penternak, Nazri Awang Ahmad, 26, berkata, semua 100 lembunya terperangkap di kawasan tinggi dalam ladang kelapa sawit lebih seminggu lalu.

“Saya buntu memikirkan cara menyelamatkan haiwan berkenaan jika banjir tidak surut beberapa hari lagi, saya merayu Jabatan Perkhidmatan Veterinar dapat membantu penternak di sini.

“Kami akan kerugian puluhan ribu ringgit jika tiada pihak tampil membantu,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2015 @ 9:04am
d