mutakhir

Biasiswa pendidikan untuk 6 anak pasangan lemas

Chukai: Kerajaan negeri menawarkan biasiswa pendidikan kepada enam anak pasangan suami isteri Suhaimi Awang, 37, dan Nur Hayati Sulong, 37, yang lemas dalam kejadian bot terbalik di Kemaman, baru-baru ini, hingga mereka mendapat pekerjaan, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abd Rahman, semalam.

“Bermula bulan ini, setiap mereka menerima biasiswa bulanan melalui Yayasan Terengganu bernilai RM70 untuk yang bersekolah menengah dan RM50 di sekolah rendah.

“Pengumuman ini dibuat kerana saya begitu tersentuh dengan pengorbanan ibu mereka yang juga seorang guru hingga akhir hayatnya,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri menawarkan semua enam beradik itu untuk tinggal di asrama Yayasan Terengganu secara percuma.

Enam anak pasangan berkenaan ialah Nor Syafiqah Syahira, 12, Nor Izah Insyirah, 11, Muhammad Ifran Irshad, 9, Nur Intisar Iedihar, 6, Muhammad Aqil Amsyar, 4, dan Nor Adifa Arissa yang berusia empat bulan.

Dalam kejadian pada 24 Disember lalu, Nur Hayati dan Suhaimi dihanyutkan arus deras selepas bot dinaiki terbalik di Kampung Geliga Che Akob, dekat sini.

Mayat Nur Hayati ditemui pada 26 Disember lalu, manakala mayat suaminya pada keesokan hari oleh anggota pasukan penyelamat.

Disiarkan pada: January 2, 2015 @ 9:35am
d