mutakhir

Tumpang hospital

Temerloh: Lebih 10 keluarga terpaksa menumpang tidur di ruang legar Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), di sini, berikutan pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh sudah dipenuhi mangsa banjir.

Seorang wanita hanya dikenali sebagai Nora, 35, berkata, dia sekeluarga mengambil keputusan mendirikan khemah di hospital berkenaan sejak Ahad lalu kerana rumahnya di Kampung Paya Luas, di sini, ditenggelami air.

Katanya, dia hanya mendaftar sebagai mangsa banjir di pusat pemindahan itu dan mencari lokasi lain kerana lebih 4,000 mangsa yang ditempatkan di sekolah berkenaan.

“Kami beralah sebab ada anak kecil dan keadaan di sana semakin sesak, mungkin di sini sedikit selesa agaknya.

“Mujur pihak hospital memahami keadaan kami, mereka pun ada beri air mineral kepada kami, mangsa yang turut tinggal di sini pun semua jiran satu lorong, jadi lebih mudah,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Selain itu, tinjauan Harian Metro di lokasi berkenaan juga mendapati kebanyakan orang ramai menjadikan kawasan itu sebagai tempat mendapatkan bekalan elektrik.

Semua punca bekalan elektrik di ruang legar bangunan hospital itu dijadikan tempat mengecas telefon bimbit berikutan kebanyakan tempat di daerah itu sudah terputus bekalan elektrik sejak Sabtu lalu.

Seorang mangsa dari Kampung Paya Pulai, dekat sini, Mohd Aziz Abdullah, 45, berkata, selain bantuan makanan dan perubatan, kebanyakan mangsa memerlukan penjana kuasa elektrik yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan.

Disiarkan pada: January 2, 2015 @ 9:40am
d