mutakhir

Azab belum berakhir

Kota Bharu: Banjir yang semakin surut di negeri ini bukan bermakna lebih 100,000 mangsa terbabit sudah boleh tersenyum atau menarik nafas lega kerana bekalan air bersih dan elektrik yang belum pulih ibarat memanjangkan lagi penderitaan dihadapi mereka.

Kebanyakan mereka yang pada mulanya gembira apabila dapat pulang ke rumah menjadi buntu apabila tidak banyak dapat dilakukan untuk kerja pembersihan berikutan ketiadaan dua sumber utama itu.

“Saya pulang untuk meninjau keadaan rumah dan mencuci apa yang patut, tapi keadaan sebaliknya berlaku apabila kami tak boleh berbuat apa-apa dengan lumpur ini,” kata Wati Abu Bakar, 40, dari Kampung Kota, di sini.

Menurutnya, ketika banjir melanda sepanjang minggu lalu, dia bersama anggota keluarga yang lain tinggal lima hari sejak 24 Disember lalu di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kota, di sini, sebelum dibenarkan pulang Ahad lalu.

Wati berkata, bekalan air bersih daripada paip langsung tidak ada di kawasan rumahnya dan dia kini berharap air perigi milik saudara yang tinggal berdekatan masih boleh digunakan.

Jirannya, Rusiah Mahmud, 46, turut mengakui masalah air paling meruncing disebabkan ramai penduduk mula mendaftar keluar daripada PPS dan berharap dapat menduduki rumah masing-masing.

Bagaimanapun katanya, azab mereka masih belum berakhir kerana rumah yang berbau busuk dan kotor akibat sisa banjir masih tidak dapat dibersihkan berikutan tiada bekalan air bersih.

“Mujurlah jiran ada air perigi yang saya boleh kongsi guna tapi ramai juga penduduk yang tiada perigi, bagaimanalah keadaan mereka,” katanya.

Di Felda Chiku 2, Gua Musang, Wan Jenab Wan Hamat, 62, berkata, sehingga semalam sudah sembilan hari bekalan air dan elektrik di rumahnya terputus menyebabkan dia sekeluarga perlu lebih tabah dan sabar meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Dalam tempoh ini, air hujan sumber utama saya sekeluarga sama ada memasak, minum atau membersihkan rumah. Walaupun tidak berpindah ke PPS, tapi keadaan banjir teruk hingga air masuk ke bahagian dapur rumah saya.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dalam sidang media semalam memberitahu 68 peratus penduduk Kelantan menerima bekalan air bersih dan menjangkakan lebih banyak lagi menjelang esok.

Beliau berkata, beberapa loji rawatan air milik Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sudah mula beroperasi, namun kawasan Kuala Krai dan sebahagian Gua Musang masih terjejas termasuk bekalan elektrik.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed juga dilaporkan berkata, bekalan air bersih yang diuruskan AKSB kini sudah hampir 60 peratus pulih.

Disiarkan pada: January 2, 2015 @ 9:45am
d