mutakhir

Lapan mayat dibawa ke darat

Pangkalan Bun: Empat mayat mangsa tragedi pesawat AirAsia Indonesia penerbangan QZ8501 berjaya dibawa naik ke daratan oleh pasukan penyelamat pada hari kelima operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.

Jumlah itu menjadikan mayat mangsa yang sudah dinaikkan menjadi lapan termasuk seorang wanita dipercayai kru kabin pesawat Airbus A320-200 berkenaan yang terhempas di perairan Selat Karimata berhampiran bandar ini.

Walaupun dibantu oleh pelbagai pihak termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), proses mencari dan menaikkan mayat yang ditemui di laut berjalan agak perlahan berikutan faktor cuaca yang tidak menentu di perairan ini.

Pengarah Operasi Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), Sunarbowo Sandi, berkata dengan adanya bantuan daripada negara jiran pihaknya berharap operasi dapat diselesaikan dengan segera.

“Bagaimanapun sekiranya operasi mencari baki mangsa yang terbabit dalam insiden ini masih belum selesai, pasukan SAR akan melanjutkan lagi operasi pencarian sehingga semua mangsa dapat ditemui.

“Kita menetapkan tujuh hari untuk operasi mencari dan menyelamatkan mangsa, namun jika sasaran tidak tercapai maka BASARNAS akan melanjutkan operasi ke satu masa yang akan ditetapkan,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2015 @ 9:58am
d