mutakhir

Sabar hadapi ujian

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mengajak umat Islam menghiaskan diri dengan sifat sabar dan reda menghadapi ujian banjir yang agak luar biasa di negeri terjejas bersempena sambutan Maulidur Rasul 1436 Hijrah hari ini.

Perdana Menteri berkata, sambutan kali ini diharap terus membangkitkan keghairahan dan mengupayakan umat Islam untuk mencontohi akhlak serta mengamalkan sunah, supaya berjaya di dunia dan di akhirat.

“Mudah-mudahan segala usaha dilakukan kerajaan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban musibah banjir dan pada masa yang sama kita terus bersolat hajat dan berdoa supaya negara kita sentiasa di bawah rahmat Allah SWT,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW yang dimuat naik di blog peribadinya, Najib Razak.com semalam.

Najib berkata, al-Quran secara jelas mendidik umat supaya sentiasa meninggikan syiar antaranya dengan memuliakan Rasulullah SAW melalui selawat dan menghidupkan sunah.

Kata beliau, ia sebagai indikator ketakwaan mukmin kepada Allah SWT.

Oleh itu, tambah beliau, perjuangan memperteguhkan iman dan syariat Islam yang dibawa Baginda perlu menjadi agenda utama dalam kehidupan seharian kita untuk mencapai keberhasilan takwa.

“Bertemakan Perpaduan Nadi Transformasi Negara, saya menyeru supaya kita sentiasa menyuburkan semangat perpaduan sesama kita sebagai rakyat Malaysia. Mari kita tonjolkan persamaan antara kita dan meraikan kepelbagaian yang ada.

“Bersamalah kita membina negara ini dengan sikap berlapang dada atas nama perpaduan, mengambil yang jernih dan meninggalkan segala kekeruhan,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berharap Indeks Syariah yang bakal dilaksanakan pentadbiran kerajaan tidak lama lagi dapat membangunkan Malaysia yang lebih makmur dan diberkati.

Kata beliau, aplikasi Islam berkenaan dibangunkan bagi mengukur tahap keseriusan usaha kerajaan mengimarahkan prinsip, nilai dan sistem Islam merentasi pelbagai sektor.

Kata beliau, inisiatif itu diharap menjadikan tadbir urus kerajaan lebih menghampiri amalan dan sunah Rasulullah SAW dalam usaha untuk mengisi tuntutan menghidupkan syariat Islam itu.

“Sesuai dengan tujuan Rasulullah SAW diutus sebagai pembawa risalah yang penuh rahmat dan kesejahteraan untuk sekalian makhluk.

“Natijahnya akan lahirlah negara dan masyarakatnya yang seimbang serta cemerlang dalam aspek kemajuan, penguasaan pengetahuan dan kemahiran yang pada masa sama berakhlak mulia dan jati diri unggul sebagai warga negara Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2015 @ 5:20am
d