mutakhir

Jalan timur barat Gerik-Jeli boleh dilalui Isnin

Subang: Kementerian Kerja Raya menjangka jalan timur barat antara Gerik, Perak dengan Jeli, Kelantan yang rosak ekoran kejadian tanah runtuh 23 Disember lalu dapat dilalui semula kenderaan menjelang Isnin depan.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sehingga kini jalan itu giat dibaik pulih oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membolehkan ia digunakan dalam tempoh masa ditetapkan.

Menurutnya, jalan berkenaan kini hanya digunakan kenderaan ringan dan kenderaan yang membawa misi bantuan ke kawasan terjejas terutamanya di Gua Musang dan Jeli kerana masih belum dibaiki sepenuhnya.

“Keadaan jalan persekutuan yang ditenggelami banjir sebelum ini digunakan sekurang-kurangnya satu lorong bagi membolehkan kenderaan yang membawa bantuan melalui jalan darat sampai ke kawasan terjejas,” katanya.

Turut mencemar duli adalah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Fadillah berkata, jambatan runtuh ekoran banjir kini dibaiki JKR dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya boleh digunakan dalam masa terdekat bagi membolehkan bantuan disalurkan.

“Ada jambatan runtuh dan tidak boleh dilalui semua kenderaan. Kementerian Pertahanan dan JKR menjalinkan kerjasama untuk membina sementara jambatan yang terputus supaya jalan perhubungan dapat dihubungkan semula,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2015 @ 5:21am
d