mutakhir

LKIM hantar 200 metrik tan ikan

Kuala Lumpur: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengatur pelbagai inisiatif termasuk mewujudkan bekalan ikan sejuk beku bagi memastikan kelangsungan bekalan ikan negara terjamin pada musim tengkujuh dan bencana banjir.

Pengerusinya Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, 200 metrik tan ikan sejuk beku dihantar ke negeri terjejas banjir.

“Orang ramai tidak perlu khuatir dengan kesegaran ikan sejuk beku yang mencukupi stok bekalannya termasuk di negeri dilanda banjir.

“Dalam usaha memastikan bekalan ikan yang agak berkurangan kini, kami membekukan lesen pengeksportan ikan rakyat seperti kembung, selar, cencaru dan selayang di samping mengimport bekalan ikan dari Bangladesh, Thailand dan Indonesia,” katanya ketika dihubungi BERNAMA, semalam.

Irmohizam berkata, LKIM juga akan bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) bagi memastikan pengguna menikmati harga stabil dan berpatutan.

Dalam usaha membela nasib nelayan di negeri terjejas banjir, beliau berkata, pihaknya akan melancarkan Misi Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir Pantai Timur di ibu pejabat LKIM di Puchong esok.

Irmohizam berkata, pihaknya setakat ini mengenal pasti kira-kira 4,500 nelayan terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu.

Beliau berkata LKIM akan berkunjung ke Kota Bharu, Kelantan pada Isnin ini bagi menyampaikan sumbangan merangkumi bantuan persekolahan, peralatan selain makanan dan wang tunai kepada nelayan.

Disiarkan pada: January 3, 2015 @ 5:22am
d