mutakhir

Tenaga muda urus bencana

Chukai: Kerajaan negeri akan menubuhkan skuad sukarelawan khas dikenali Sukarelawan Transformasi Terengganu Baru (TTB) khusus bagi membantu mangsa bencana alam di seluruh negeri pada masa depan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sudah tiba masanya generasi belia menzahirkan semangat solidariti mereka melalui TTB yang akan menjadi organisasi diiktiraf seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Semangat solidariti akan diiktiraf apabila kita memberi nilai tambah dan memperkemaskan lagi sukarelawan TTB sedia ada sebagai sebuah organisasi yang mempunyai latihan serta pakaian seragam yang sama seperti JPAM dan RELA.

“Kita akan beri pengiktirafan kepada mereka termasuk latihan khusus dengan bantuan agensi seperti tentera, bomba, JPAM dan RELA untuk mengajar kemahiran kepada sukarelawan ini,” katanya selepas menyertai gotong-royong membersihkan Sekolah Kebangsaaan Bukit Mentok II yang ditenggelami banjir, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata, sukarelawan TTB yang kini mempunyai 1,320 anggota terdiri daripada belia dan beliawanis negeri serta daerah akan diletakkan sebagai kluster belia dan sukan di bawah Pejabat Menteri Besar.

“Selain membantu mangsa bencana, kita juga mahu mengajar generasi muda ini memahami tragedi yang berlaku, sekali gus membuktikan peranan mereka sebagai kelompok yang boleh membantu masyarakat dalam segala aspek.

“Saya masih menunggu bajet dibentangkan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2015 @ 5:23am
d