mutakhir

SPR syor tambah 11 kerusi

Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesyorkan jumlah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Sarawak ditambah sebanyak 11 daripada 71 bahagian, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 82 bahagian.

Syor itu dibuat selaras dengan pindaan Undang-Undang dalam Perlembagaan Negeri Sarawak yang dikuatkuasakan pada pada 5 Disember 2014, demikian menurut Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh semalam.

“Bagi maksud Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya ini juga, terdapat pindaan nama kepada Bahagian-bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Ghani menjelaskan butiran terperinci syor yang dicadangkan akan dinyatakan dalam Notis Persempadanan Semula yang akan disiarkan nanti.

“SPR akan mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri Sarawak selama sebulan bermula 5 Jan (Isnin) hingga 4 Feb 2015 (Rabu) di tempat-tempat yang dinyatakan dalam Notis Persempadanan Semula yang disiarkan di akhbar-akhbar tempatan pada 5 Januari.

“Jumlah bilangan pemilih dalam Daftar Pemilih yang diperakukan dan diwartakan pada 30 April 2014 digunakan sebagai asas dalam penyediaan syor Kajian Semula Persempadanan ini,” kata Abdul Ghani.

Beliau berkata, satu salinan syor yang dicadangkan itu berserta peta Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Sarawak juga akan dipamerkan untuk pemeriksaan orang ramai.

Pemeriksaan adalah semasa waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja di tempat seperti yang dinyatakan dalam notis yang disiarkan.

Disiarkan pada: January 5, 2015 @ 6:33am
d