mutakhir

12 tanah rancangan FELDA terjejas

Dungun: FELDA mengenal pasti sebanyak 12 tanah rancangannya di seluruh negara terjejas akibat banjir dengan kawasan paling teruk dilaporkan ialah di FELDA Chiku, Gua Musang, Kelantan.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, daripada jumlah itu seramai 4,200 orang daripada 949 keluarga peneroka terbabit dengan bencana itu.

“Kejadian banjir yang berlaku di FELDA Chiku berpunca daripada kawasan hutan di situ yang gondol dan keadaan ini menyebabkan air turun dengan cepat dan melanda rumah peneroka.

“Keadaan limpahan air ini dalam tempoh sejam menyebabkan air naik dengan cepat setinggi tiga meter sehingga peneroka gagal menyelamatkan sebarang harta benda,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan banjir serta gotong royong perdana di FELDA Seberang Tayor, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Ahli Parlimen Kemaman Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Mohd Isa berkata, pihaknya sedang membuat bancian dan siasatan bagi mengenal pasti jumlah kerosakan harta benda yang dihadapi peneroka.

“Kita sedang melakukan bancian berhubung kerugian yang dialami peneroka sebelum kita salurkan bantuan kepada mereka,”katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2015 @ 6:55am
d