mutakhir

Dipenjara lima bulan tumbuk lelaki

Kuala Lumpur: Seorang juruteknik komputer dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas seorang lelaki, Julai tahun lalu.

Majistret Nur A’minahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap M John Decrooco, 28, dan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 27 September lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Talif Mahaf, 45, dengan cara menampar dan menumbuk mangsa di hadapan kedai serbaneka, Jalan Raja Laut di sini, jam 10.30 pagi, pada 5 Julai 2014.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin mankala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Terdahulu, lelaki itu dalam rayuannya, memohon mahkamah memberikan hukuman yang ringan kerana perlu menyara isteri yang tidak bekerja dan empat orang anak yang masih kecil.

Bagaimanapun, Noor Svetlana memberitahu mahkamah dakwaan John Decrooco mengenai mangsa dikatakan menyamun isteri tertuduh tidak dapat dibuktikan oleh tertuduh.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang sedang duduk di tangga sebelah kedai serbaneka itu tiba-tibaditumbuk, ditendang dan dipijak oleh tertuduh dengan kuat sehingga mengalami kesakitan di muka dan badan.

Mangsa menjerit meminta bantuan awam sebelum polis datang membawa kedua-dua lelaki itu ke Ibu Pejabat Balai Polis Dang Wangi di sini untuk siasatan lanjut.

Tertuduh mendakwa mangsa menyamun isterinya di Sentul sedangkan mangsa tidak pernah melakukan jenayah.

Disiarkan pada: January 6, 2015 @ 6:15am
d