mutakhir

Hukuman tali gantung kekal

Putrajaya: Mahkamah Persekutuan di sini, semalam mengekalkan sabitan kesalahan dan hukuman mati terhadap penyelenggara stor yang membunuh teman wanitanya dengan menjerut lehernya dengan kain tudung.

Panel lima hakim dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara menolak rayuan akhir Shahrul Nizam Mohd Shah untuk mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman terhadapnya.

Zulkefli berkata, setelah menimbang hujah pihak pembelaan dan pendakwaan, mahkamah mendapati sabitan kesalahan terhadap Shahrul Nizam mempunyai asas kukuh.

Katanya, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya terhadap Shahrul Nizam di luar keraguan munasabah dan dengan itu mengukuhkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati perayu bersalah membunuh Nurul Hazira Bharum, 26, dan menjatuhi hukuman mati terhadapnya.

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Zainun Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: January 6, 2015 @ 6:15am
d