mutakhir

Istiadat pemahkotaan 23 Mac

Johor Bahru: Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar diadakan di Istana Besar Johor, di sini, pada 23 Mac nanti.

Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, Sultan Ibrahim turut berkenan memberi satu gelaran baru kepada isteri baginda, Raja Zarith Sofia Almarhum Sultan Idris iaitu dimahkotakan sebagai Permaisuri Johor yang pertama kali digunakan di negeri terbabit.

Menurutnya, sembilan istiadat akan diadakan bermula seawal 16 Mac, manakala sambutan perayaan dijangka berterusan selama tiga bulan.

Katanya, bagi memastikan kelancaran istiadat berkenaan, kerajaan negeri juga mengumumkan 23 Mac depan sebagai cuti umum (hanya bagi tahun 2015).

“Upacara kemahkotaan ini dilakukan selepas tempoh lima tahun Sultan Ibrahim dimasyhurkan iaitu pada 23 Januari 2010.

“Mengikut Fasal Empat Bahagian Kelima Lembaga Aturan bagi Perintahan Majlis Raja, Majlis Istana dan Agama 1922 memperuntukkan istiadat kemahkotaan boleh diadakan pada bila-bila masa sesuai selepas pemasyhuran.

“Mengikut sejarah negeri, Almarhum Sultan Abu Bakar dimahkotakan pada 29 Julai 1886 iaitu 23 tahun selepas menaiki takhta, Almarhum Sultan Ibrahim dimahkotakan pada 2 November 1895 iaitu enam bulan selepas dimasyhurkan, Almarhum Sultan Ismail pula dimahkotakan pada 10 Februari 1960 iaitu enam bulan selepas menaiki takhta,” katanya.

Abdul Rahim berkata, istiadat kemahkotaan adalah eksklusif, tetapi mengandungi ciri yang pernah dilakukan dalam istiadat sebelum ini bagi mengekalkan budaya istana.

Disiarkan pada: January 6, 2015 @ 6:17am
d