mutakhir

Bekas suami ugut simbah asid

Ipoh: ‘Awak tak selamat, aku kacau hidup kau’, demikian nota ugutan diterima peniaga wanita di rumahnya di Taman Jati, di sini, kelmarin dipercayai dihantar bekas suaminya.

Wanita berusia 45 tahun itu, kini hidup dalam ketakutan apabila turut diugut akan disimbah asid disyaki berpunca daripada tidak puas hati berhubung harta sepencarian termasuk hak pemilikan premis perniagaan.

Dalam kejadian ugutan terbaru jam 7.30 malam kelmarin, selepas menerima nota ugutan berkenaan, mangsa menelefon bekas suaminya itu dan menerima ugutan akan disimbah asid pula, sekiranya mangsa masih enggan keluar dari kedai berkenaan selepas kedai itu dijual suspek tanpa berbincang dengan mangsa.

Menurut sumber, sebelum kejadian itu berlaku jam 5.30 petang, mangsa yang berniaga di kedai makan miliknya dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki bermotosikal bertindak membaling botol berisi air klorin.

Katanya, mangsa bernasib baik apabila botol dibaling tidak mengenainya sebelum seorang daripada lelaki berkenaan turut memberikan amaran meminta mangsa berhati-hati.

Disiarkan pada: January 6, 2015 @ 6:25am
d