mutakhir

Isu status terus didebat

Jakarta: Ketika usaha mengeluarkan bangkai pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di dasar laut berdekatan Selat Karimata berdepan cabaran cuaca yang sukar diduga, status penerbangan pesawat malang itu terus menjadi perdebatan.

Kementerian Pengangkutan Indonesia menuduh penerbangan itu beroperasi di luar jadual dibenarkan, tetapi pihak pengurusan syarikat penerbangan tambang murah itu mendakwa sudah mengikut prosedur ditetapkan.

Sehingga kini, kerajaan Indonesia menggantung laluan Surabaya-Singapura berkuat kuasa serta-merta untuk siasatan.

Portal detik.com melaporkan pihak kementerian melihat AirAsia Indonesia melanggar jadual penerbangan sebaliknya pihak pengurusan syarikat termasuk beberapa individu mengatakan ia tidak mungkin berlaku.

Wakil Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia Fadli Zon meminta Kementerian Pengangkutan tidak hanya menyalahkan AirAsia Indonesia sebaliknya tidak menolak kemungkinan ada ‘permainan’ dalaman di kementerian itu.

“Pasti ia membabitkan dua pihak kerana ia amalan selama ini. Kementerian tidak boleh hanya salahkan syarikat penerbangan. Jika mereka boleh membuat penerbangan sudah tentu ada pembabitan kementerian,” katanya.

Sementara itu, portal sama melaporkan Ketua Pengarah Perhubungan Udara Kementerian Pengangkutan Djoko Murdjatmodjo berkata, siasatan awal mendapati AirAsia Indonesia mendapat keizinan penerbangan disebabkan data digunakan berbeza.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: January 6, 2015 @ 6:29am
d