mutakhir

Misi konvoi kemanusiaan

Kuala Lumpur: Tesco Stores (M) Sdn Bhd (Tesco) meneruskan lagi misi bantuan kemanusiaan mangsa banjir di pantai timur buat edisi kelima membabitkan lebih 300 sukarelawan dengan diiringi 130 kenderaan pacuan empat roda serta empat treler, di sini, semalam.

Konvoi berkenaan turut membawa muatan sumbangan makanan dan keperluan asas seberat 200 tan yang dikumpul selama tujuh hari sempena Program Tesco-Astro Kasih untuk diserahkan kepada mangsa banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia Georg Fischer berkata, konvoi kali ini adalah untuk menyalurkan sumbangan kilat kepada mangsa banjir selain membersihkan kediaman mereka yang terjejas.

“Kita menyedari hakikat bahawa selain daripada makanan dan keperluan asas lain, mangsa banjir juga memerlukan sokongan dan tenaga daripada pihak lain untuk membantu memulihkan kehidupan mereka seperti biasa,” katanya.

Di Putrajaya, 50,000 sukarelawan terdiri daripada warga Kementerian Pendidikan (KPM) dari seluruh negara menyertai Misi Sukarelawan Pasca Banjir KPM bagi membersihkan kawasan sekolah yang terjejas di Gua Musang, Kelantan.

Ketua Unit Aduan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) KPM merangkap Ketua Misi Habibullah Ali berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Gua Musang dan beberapa rumah pendidik dan pesara yang sudah dikenal pasti untuk tujuan itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: January 6, 2015 @ 6:37am
d