mutakhir

Bayaran bonus 15 Januari ini

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju pembayaran bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada penjawat awam dan bantuan khas RM250 kepada pesara kerajaan diawalkan iaitu pada 15 Januari ini.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, keputusan itu berikutan kerajaan prihatin dan memahami situasi semasa terutama sekali penjawat awam yang terbabit bencana banjir.

“Kerajaan berharap pemberian ini (pembayaran awal bonus) dapat meringankan beban penjawat awam akibat banjir serta membantu persediaan persekolahan anak,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Banjir yang berlaku di beberapa negeri sejak pertengahan Disember lalu mengakibatkan ribuan penduduk dipindahkan dengan angka semasa menunjukkan sejumlah 41,421 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan.

Dalam pembentangan Bajet 2015 pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemberian bonus itu yang sebelum ini dijadualkan dibayar kepada penjawat awam bersekali dengan gaji bulan Januari 2015.

Disiarkan pada: January 6, 2015 @ 6:46am
d