mutakhir

Bazar karat tepi lebuh raya

Oleh Amir Mamat

Jasin: Bazar Karat yang menawarkan pelbagai barangan antik kepada peminatnya memulakan operasi di kawasan rehat dan rawat (R&R) arah selatan, Sungai Rambai, di sini, semalam.

Pusat jualan itu menawarkan barangan antik seperti piring hitam, tembaga, porselin, pelita, buku, perhiasan, permainan lama, seragam lama, jam, alat ganti kenderaan, basikal tua dan motosikal pada harga berpatutan.

Bazar Karat itu diusahakan secara bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dengan Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Sungai Rambai.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Hasan Abd Rahman berkata, sebagai permulaan, lima lot kedai di R&R berkenaan dibuka untuk aktiviti menjual barangan antik dan PKNM mempertimbangkan menambah lagi lot bagi memenuhi permintaan peniaga dalam dan luar Melaka.

“Kewujudan bazar pertama hasil kerjasama PKNM dan JAPERUN Sungai Rambai ini bertujuan memberi peluang kepada pemilik barangan lama memperkenal serta menjual produk dikumpulkan sejak sekian lama,” katanya selepas merasmikan Bazar Karat itu semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PKNM Ismail Hasim dan Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) negeri Fazli Rizal Ismail.

Hasan berkata, pada masa sama, ia juga dapat mengembalikan nostalgia orang ramai di samping membolehkan mereka menjadikan barangan terbabit sebagai koleksi di rumah.

“Usaha mewujudkan bazar ini adalah langkah mengubah persepsi masyarakat bahawa barangan lama bukan ‘sampah’, tetapi ‘permata’ yang sangat berharga.

“Saya yakin, usaha ini dapat meningkatkan jumlah pengunjung ke Sungai Rambai kerana mereka dapat melihat sendiri keunikan pelbagai barangan dijual pada harga murah berbanding di tempat lain,” katanya.

Disiarkan pada: January 7, 2015 @ 7:17am
d