mutakhir

Jejak 8 GRO di rumah teres

Langkawi: Tindakan pantas anggota polis mengekori sebuah van milik pengusaha pusat hiburan dengan berjalan kaki sejauh kira-kira satu kilometer berjaya menahan lapan pelayan pelanggan (GRO) warga asing bersembunyi dalam sebuah rumah teres dua tingkat di Kuah dalam Ops Noda, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi, sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) dan Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menyerbu lima premis pusat hiburan di pulau peranginan berkenaan berdasarkan risikan selepas menerima maklumat awam.

Seramai 46 individu ditahan dalam serbuan di lima premis hiburan membabitkan 31 GRO warga asing dan 15 pelanggan, pekerja premis hiburan warga tempatan dan asing berusia antara 20 hingga 30-an.

Difahamkan, sebuah pusat hiburan turut menyediakan khidmat sebuah van khas yang diletakkan di belakang premis berkenaan sekiranya pihak berkuasa membuat operasi untuk ‘melarikan’ GRO terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Jalan Mahsuri, Pusat Mas, Kuah, di sini, mendapati pengusaha premis berkenaan seolah-olah dapat menghidu kehadiran pihak berkuasa.

Beliau berkata, ketika serbuan itu, pengusaha pusat hiburan berkenaan menyediakan sebuah van yang diletakkan di bahagian belakang premis untuk membawa GRO mereka ke lokasi lain apabila pihak berkuasa membuat serbuan di situ.

“Anggota kami yang berada di kawasan itu melihat sebuah van yang membawa GRO berkenaan lalu bertindak mengekori kenderaan terbabit dengan berjalan kaki sejauh kira-kira satu kilometer dipercayai cuba dihantar ke sebuah rumah teres dua tingkat terletak berhampiran.

“Kami kemudian mengepung rumah itu dan mengetuk pintu hampir 10 minit, namun mereka enggan membukanya sehingga terpaksa memecahkan pintu jeriji. Pemeriksaan berjaya menemui lapan wanita warga Thailand dan Laos dipercayai bekerja sebagai GRO di pusat hiburan berkenaan.

Mohd Nashir berkata, semua 31 GRO warga asing berkenaan membabitkan 26 warga Thailand dan lima warga Laos, selain 10 lelaki warga Nepal manakala lima lelaki warga tempatan termasuk pengusaha dan pekerja pusat hiburan serta pelanggan.

“Warga asing terbabit ditahan mengikut Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959/63 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial selain bekerja tanpa permit.

“Pengusaha pusat hiburan berkenaan ditahan mengikut Seksyen 55 (b) (1) Akta Imigresen 59/63 Pindaan 1997 kerana menggajikan pekerja tanpa sebarang dokumen yang sah dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun,” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2015 @ 6:51am
d