mutakhir

Dentuman 7 kenderaan

Oleh Hadzlihady Hassan

Georgetown: “Bunyi dentuman sangat kuat hingga membuatkan pelanggan yang sedang menjamu selera terkejut dan bergegas ke tempat kejadian di seberang jalan,” kata Mohd Fauzi Hamid, 48, menceritakan kejadian kemalangan ngeri membabitkan tujuh kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Pinang, di sini, semalam, sehingga menyebabkan dua mangsa terbunuh.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, Mohd Fauzi yang juga peniaga sate di medan selera di situ, berkata dia bergegas ke tempat kejadian dan terkejut melihat sebuah lori menghempap Toyota Vios hingga menyebabkan pemandu dan penumpangnya tersepit.

Menurutnya, tidak lama selepas itu pasukan penyelamat terdiri bomba, polis dan kakitangan hospital tiba di tempat kejadian.

“Saya kemudian diberitahu dua mangsa yang tersepit dalam kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian.

“Anggota bomba kemudian berjaya mengeluarkan mangsa di bahagian penumpang depan iaitu seorang lelaki manakala seorang lagi wanita yang memandu kereta terbabit masih belum berjaya dikeluarkan ketika itu,” katanya.

Ketika kejadian, Toyota Vios dipandu guru wanita Lim Chye Luan, 49, yang dinaiki bersama abang iparnya Le A Yong, 72, berhenti di lampu isyarat dan mereka dikatakan dalam perjalanan ke rumah rakan yang terletak kira-kira satu kilometer dari persimpangan lampu isyarat terbabit.

Turut berhenti di persimpangan lampu isyarat itu sebuah bas ekspres, sebuah lori ais dan tiga lagi kereta iaitu Perodua Kelisa, Perodua Myvi dan Nissan.

Disiarkan pada: January 8, 2015 @ 7:04am
d