mutakhir

Sengkang mata bungkus makanan

Chukai: Seramai 31 kakitangan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal bersengkang mata hingga jam 3 pagi membungkus pelbagai barangan seperti baju, bantal, selimut, makanan dan barangan lain untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Kelantan.

Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal Wan Mohamed Hisham Wan Abdul Hamid berkata, semua barangan itu disumbang Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di DUN Kijal, orang perseorangan, syarikat swasta dan Pejabat DUN Kijal.

“Sejak seminggu lalu, Pejabat DUN Kijal mengumpul barangan sumbangan pelbagai pihak untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di Kelantan dan kakitangan kita bertungkus-lumus membungkus barangan dikumpul hingga awal pagi.

“Semua barangan dijangka siap dibungkus esok (hari ini) sebelum terus bergerak ke kawasan Parlimen Gua Musang, Kelantan menggunakan dua lori dan enam pacuan empat roda,” katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau berkata, walaupun Terengganu turut dilanda banjir terutama di Kemaman, namun keadaan tidak seteruk di Kelantan apabila selepas banjir surut, ramai mangsa kehilangan harta benda termasuk pakaian dan perkakasan rumah, malah rumah sendiri.

Disiarkan pada: January 8, 2015 @ 7:20am
d