mutakhir

RM100,000 untuk ringan derita banjir

Kuala Lumpur: Tabung Bencana The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP)-Media Prima Berhad (MPB) terus mendapat sumbangan apabila Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan-KWAP) menghulurkan RM100,000 bagi meringankan bebanan mangsa banjir di pantai timur semenanjung tahun lalu.

KWAP turut menyerahkan 1,000 unit dapur gas bagi membantu golongan berkenaan memulakan kehidupan baru selepas kehilangan banyak harta benda.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, pihaknya memandang serius mengenai keadaan mangsa banjir yang memerlukan sokongan dan sumbangan dari pihak yang berkemampuan untuk meneruskan kehidupan.

“Kita akan melancarkan dua misi bermula esok yang akan menurunkan lebih 30 sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan KWAP untuk membantu secara tenaga kerja membersihkan kawasan banjir.

“Bagi misi kedua pula akan ditentukan kelak melihat kepada keperluan di kawasan yang terjejas supaya dapat melancarkan usaha membantu mangsa banjir,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif NSTP Datuk Mohammad Azlan Abdullah.

Menurut Wan Kamaruzaman, melalui sumbangan berkenaan, pihaknya berharap ia dapat disalurkan kepada mangsa banjir dengan adil dan sekali gus menyeru pelbagai lagi pihak turut bersama menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir.

KWAP turut mengutamakan keluarga kakitangan KWAP yang terbabit dalam kejadian banjir sebelum mengeluarkan dana bagi membantu penduduk lain yang terjejas.

Disiarkan pada: January 8, 2015 @ 7:21am
d