mutakhir

Hentikan kegiatan pembalakan

Jerantut: Kerajaan negeri diminta memberhentikan kegiatan pembalakan di negeri masing-masing bagi mengelakkan musibah banjir lebih teruk sehingga menyebabkan kesusahan kepada rakyat pada masa akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, semua kerajaan negeri wajar mengkaji pemberian lesen pembalakan kerana kegiatan itu dipercayai penyumbang besar kepada kejadian banjir besar yang berlaku ketika ini.

“Penguatkuasaan peraturan pembalakan wajar ditingkatkan selain tidak sewenang-wenangnya meluluskan lesen di kawasan penampan, hulu sungai dan hutan simpanan berdekatan pusat pelancongan,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa seperti Jabatan Perhutanan dan penguatkuasa tertentu kerajaan negeri perlu bertindak lebih tegas dan tidak berdiam diri.

“Mereka perlu berani bertindak berasaskan peraturan sedia ada tanpa memilih bulu terhadap pihak tidak bertangungjawab menebang pokok dan meneroka hutan secara haram.

“Musibah banjir lumpur dan hakisan di Cameron Highlands sebelum ini sepatutnya menyedarkan semua pihak supaya menjaga alam sekitar dan khazanah biodiversiti yang menjadi tarikan pelancong serta manfaat penduduk tempatan.

“Sikap rakus dan ‘tangan-tangan gatal’ sesetengah pihak tidak bertangungjawab menggunakan kuasa dan legitimasi orang tertentu meratah hutan menjadi gondol sehingga menyebabkan banjir besar, sekali gus menyusahkan rakyat,” katanya ketika ditemui meninjau kesan musibah banjir di Kampung Belebar, Kuala Tahan, dekat sini, semalam.

Terdahulu, Shahidan meninjau kawasan Taman Negara Kuala Tahan dan Hulu Tembeling yang terbabit dengan musibah banjir sebelum bertemu 29 mangsa banjir di Kampung Belebar, di sini.

Hadir sama Ahli Parlimen Jerantut Ahmad Nazlan Idris.

Shahidan berkata, kejadian banjir di daerah ini menyebabkan kediaman penduduk dan pusat pelancongan terletak di persisiran Sungai Tembeling dan Sungai Pahang terjejas berpunca akibat penebangan hutan dan pembalakan komersial di kawasan hulu.

“Saya berharap kerajaan negeri memberhentikan kegiatan berkenaan dan jangan meluluskan lesen mengeluarkan kayu balak di kawasan penampan berdekatan sungai dan pusat pelancongan Taman Negara.

“Tinjauan saya dari udara, hari ini (semalam), menunjukkan hampir keseluruhan hutan Hulu Temebeling sudah diteroka dan penebangan balak berleluasa yang hampir sama seperti berlaku di Cameron Highlands, baru-baru ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2015 @ 7:27am
d