mutakhir

Segera kecuali visa

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Sepang: Pengecualian visa kepada pelancong China perlu dilakukan secepat mungkin bagi meningkatkan kehadiran warga republik itu sekali gus menjadikan Malaysia lebih kompetatif dalam menarik kehadiran pengunjung dari negara berkenaan.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, langkah berkenaan selaras dengan sasaran Malaysia untuk mencapai kehadiran 29.4 juta pelancong tahun ini sempena Malaysia Year of Festivals (MyFest) 2015.

“China adalah negara yang mempunyai pelancong ‘berkualiti’ kerana mereka sanggup berbelanja lebih ketika berada di negara lain. Jika kita terlalu tegas terhadap visa ini, kita akan kehilangan mereka.

“Kita harap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin memandangkan sambutan Tahun Baru Cina juga pada 19 Februari ini. Malah, pengecualian ini juga untuk memudahkan mereka datang ke Malaysia,” katanya kepada sidang media pada majlis pelancaran kad ‘KL TravelPass’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohamad Taiyab dan Pengerusi Eksekutif Express Rail Link Sdn Bhd Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh.

Sementara itu, Mohd Nadzmi ketika mengulas mengenai pelancaran kad berkenaan berkata, ia disasarkan kepada pelancong asing bagi memudahkan mereka sepanjang berada di negara ini.

“Kad ini boleh digunakan di semua pengangkutan awam di Kuala Lumpur termasuk KLIA Ekspres, RapidKL LRT, bas dan monorail serta KTM Komuter.

“Pengguna boleh membeli barangan di kedai serbaneka menggunakan kad ini kerana kegunaannya bukan saja untuk menaiki pengangkutan awam,” katanya.

Kemudahan ‘KL TravelPass’ terbahagi kepada dua pakej iaitu perjalanan sehala dan perjalanan dua hala di sekitar Kuala Lumpur.

Bagi kad perjalanan sehala berharga RM50 merangkumi RM35 untuk pengangkutan awam manakala, RM10 berbelanja di kedai serbaneka.

Harga kad perjalanan dua hala pula ialah RM85 dengan RM70 untuk pengangkutan awam dan RM10 untuk berbelanja di kedai serbaneka.

Kedua-dua kad berkenaan berharga RM5 dan penambahan nilai bagi kad berkenaan boleh dibuat di kaunter KLIA Ekspres, KLIA Transit, RapidKL LRT dan KTM Komuter serta kedai serbaneka.

Disiarkan pada: January 9, 2015 @ 6:55am
d