mutakhir

'10 tahun saya cari bak'

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: “Bak (ayah), along dah lama cari bak. Dalam 10 tahun ini, along puas bertanya pada saudara dan kawan-kawan bak.

“Tapi tak ada seorang pun yang tahu di mana bak. Bak...datanglah berjumpa along dan Iqbal (adik),” rayu Nor Syafiqah Sa’aban, 24, penuh harap.

Anak sulung Sa’aban Jayus, 52, itu datang ke Balai Berita ditemani ibu, Salmah Maidin, 50, dengan harapan dapat mengesan semula bapanya yang menghilang sejak 10 tahun lalu.

Dalam nada sebak, Nor Syafiqah turut memohon maaf kepada bapanya kerana bimbang pernah melukakan hati orang tuanya itu sepanjang 13 tahun mereka bersama.

“Ayah menghilang sejak bercerai dengan ibu pada 2004. Ketika itu saya bersekolah di tingkatan 1 dan pengsan sebaik mendapat khabar perpisahan mereka menerusi telefon,” katanya.

Menurut Nor Syafiqah, dia tidak pernah menyalahkan kedua ibu bapanya kerana sedar bahawa jodoh dan ajal maut ditentukan Allah.

“Saya cuma sedih dan terkilan kerana ayah terus menghilang selepas berpisah dengan ibu. Tidak setakat hilang di mata kami, ayah juga menjauh daripada keluarganya sendiri.

“Kali terakhir bertemu ayah pun saya terkedu tanpa kata. Ayah tiba-tiba muncul di sekolah dan memohon maaf kerana gagal melaksanakan tanggungjawabnya menjaga keluarga.

“Ayah juga berpesan supaya saya menjaga ibu kerana dia tidak dapat berbuat demikian,” katanya yang mahu Sa’aban sendiri menjadi wali pada pernikahannya Mei depan.

Dia pernah mendapat maklumat ayahnya dilihat di Machap, Johor dan ke sana mencari, tetapi tidak bertemu.

Bercerita lanjut, Nor Syafiqah berkata, dia bersyukur kerana ramai kenalan lama bapanya yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menawarkan bantuan untuk mencari dan mengesan Sa’aban.

Kata Nor Syafiqah, dia kini sudah bersedia menanggung segala keperluan bapanya berbanding ketika ditinggalkan 10 tahun lalu.

“Sejak dulu lagi saya nekad menabung untuk kesenangan ibu dan ayah. Alhamdulillah, berkat usaha dan doa ibu, saya sudah memiliki perniagaan sendiri.

“Ibu sudah bahagia dengan kehidupan baru dan saya juga mahu ayah merasai kesenangan hidup. Kalau betullah kata jiran bahawa ayah bekerja sebagai tukang cuci di Machap, saya merayu dia pulang.

“Biar saya yang menjaga dan menanggung makan minumnya. Sekalipun mahu bekerja, ayah boleh membantu saya di kedai,” katanya.

Nor Syafiqah boleh dihubungi di 013-3245934 atau 011-15126322.

Disiarkan pada: January 9, 2015 @ 7:12am
d