mutakhir

Kalut anak ghaib

Oleh Mary Victoria Dass dan Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: “Saya tidak tahu apa yang berlaku kerana abang dan adik keluar untuk beli minuman di kedai berhampiran dan saya kini bimbang memikirkan keselamatan dua anak saya apabila mereka masih belum pulang,” kata Azriana Ahmad.

Azriana, 30, adalah ibu kepada dua beradik yang hilang dari kediaman keluarga mereka di Jalan Pinang 52, Taman Daya di sini, sejak jam 9 malam kelmarin.

Dia yang bertugas sebagai guru agama berkata, ketika kejadian dia mengajar mengaji di rumahnya di bangunan rumah kedai.

Menurutnya, Mohd Iman Zafri Othman, 11, yang mesra dengan panggilan abang dan Nur Alysyah Zafiera, 9, (adik) sehingga kini tidak pulang ke rumah.

“Sebelum ini, hanya sesekali mereka keluar rumah dan saya benarkan keluar ketika itu kerana kedai berkenaan terletak berhampiran rumah kami.

“Mereka hanya membawa wang cukup untuk membeli minuman dan ketika kejadian abang memakai baju hitam dan berseluar hitam, manakala adik pula memakai baju tidur warna putih berbintik merah,” katanya yang turut memiliki anak lelaki berusia dua tahun hasil perkahwinan kedua.

Azriana berkata, dia berusaha mengesan kedua-dua anaknya itu di kawasan perumahan berkenaan dan sekitarnya, tetapi gagal menemui mereka.

Menurutnya, dia memaklumkan kejadian kepada bekas mentuanya dan mereka terkejut dengan kehilangan kedua-dua anaknya itu.

“Bapa mentua menyatakan sudah menghubungi bekas suami saya, tetapi dia juga mendakwa tidak tahu sebarang maklumat berkaitan abang dan adik.

“Saya semakin bimbang dan tidak tenang selepas mereka hilang dan berdoa mendapat maklumat berkaitan mereka secepat mungkin.

“Saya berdoa mereka selamat dan pulang ke pangkuan keluarga,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Kakak Azriana, Azrizah, 44, berkata adiknya membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Setia Indah, di sini, lepas gagal menemui kedua-dua anaknya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dua kanak-kanak berkenaan boleh menghubungi balai polis berhampiran atau ahli keluarga di talian 013-7009064 atau 017-7773985,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh mengesahkan pihaknya menerima laporan polis yang dibuat di Balai Polis Setia Indah, malam kelmarin.

“Polis percaya kejadian ini ada hubung kait dengan masalah keluarga antara kedua ibu bapa kanak-kanak ini dan kami menolak dakwaan mereka hilang kerana diculik.

“Siasatan lanjut dijalankan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi, biarlah polis menjalankan siasatan.

“Polis masih menjalankan siasatan secara menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai faktor,” katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2015 @ 7:17am
d