mutakhir

NGO selami derita

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Prihatin terhadap penderitaan mangsa banjir yang terjejas teruk di beberapa negeri, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyalurkan bantuan berbentuk barangan keperluan asas berjumlah lebih 10 tan bagi mangsa terjejas sejak minggu lalu.

Setiausaha Agung PERKASA Syed Hassan Syed Ali berkata, sejak bencana berkenaan berlaku, pihaknya sudah menggerakkan semua cawangan pertubuhan itu di seluruh negara untuk mengumpul barangan dan mengutip derma untuk membantu mangsa banjir.

“Kami sudah menyalurkan bantuan berkenaan di beberapa lokasi seluruh negara dan penghantaran itu dibuat sejak Sabtu lalu terdiri daripada beberapa kenderaan termasuk lori.

“Ini adalah inisiatif kami sendiri apabila melihat kemusnahan serta kesusahan yang dihadapi penduduk di beberapa negeri termasuk Kelantan yang terjejas teruk,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Pada masa sama, beliau turut menyangkal dakwaan sesetengah laporan akhbar yang menyatakan bahawa pertubuhan itu tidak membantu mangsa banjir, sebaliknya sentiasa prihatin terhadap penderitaan yang dialami penduduk terjejas.

Sebelum ini, terdapat dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa PERKASA dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain tidak terbabit dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: January 9, 2015 @ 7:46am
d