mutakhir

Tak tahan pangsapuri busuk

Petaling Jaya: Penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, di sini, terpaksa berdepan dengan keadaan kotor dan menjijikkan berikutan masalah saluran paip bocor dan melimpah sehingga memenuhi ruang bawah kediaman mereka.

Penduduk mendakwa masalah itu sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan berpunca daripada pihak pemaju yang tidak menyelenggara dengan baik selain sikap segelintir penduduk yang pengotor.

Tinjauan Harian Metro mendapati air kumbahan yang melalui saluran dari tingkat atas PPR berkenaan keluar hampir setiap masa sehingga melimpah ke lantai.

Penghuni, Raja Kamarul Zaidi Raja Kamarudin, 27, berkata, dia tiada pilihan kecuali terus tinggal di pangsapuri itu kerana tidak mampu mencari rumah lain.

“Ada juga penduduk menjalankan gotong-royong dan bekerjasama membersihkan kawasan sekitar, mencuci longkang dan koridor bawah, tapi saluran itu langsung tidak ditukar atau dibaiki.

“Walaupun air terus ke longkang, ia masih mengeluarkan bau busuk sehingga menyebabkan pening serta sesak nafas.

“Kini, ia bocor semula dan masalah semakin teruk kerana saluran itu sendiri sudah reput dan berkarat,” katanya ketika ditemui, di sini.

Bukan itu saja, besi pemegang di tangga turut hilang sehingga boleh menyebabkan kemalangan.

Penghuni, Ezwan Mansor, 37, berkata, masalah itu sukar diselesaikan kerana pihak bertanggungjawab tidak membaiki kerosakan.

“Bagaimana warga emas dan kanak-kanak ingin berpaut ketika menaiki tangga sekiranya besi penghadang hilang dan rosak?

“Jangan sampai perkara yang tidak diingini berlaku, barulah pihak berkaitan akan mengambil tindakan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Zainun Zakaria berkata, pihaknya menerima aduan daripada penghuni pangsapuri berkenaan dan perkara itu masih di peringkat perbincangan dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

“Pangsapuri itu mempunyai pelbagai masalah lain yang perlu diselesaikan. Lebih baik mereka pergi sendiri ke LPHS kerana isu itu sudah diserahkan untuk perhatian kerajaan,” katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2015 @ 7:51am
d