mutakhir

Enam jahanam terjerat

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kajang: Sekumpulan enam sahabat dikesan aktif melakukan jenayah samun dan peras ugut terhadap pekerja warga asing Nepal dan Myanmar di daerah ini.

Suspek berusia 20-an dikatakan menceroboh masuk asrama dihuni mangsa sebelum menggugut menggunakan pisau.

Terbaru pada 18 Disember lalu, enam suspek terbabit menyelinap masuk ke dalam sebuah asrama pekerja di Taman Industri Selesa di sini, sebelum menyamun seorang lelaki warga Nepal.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, ketika kejadian mangsa berusia 30 tahun sedang berehat bersama dua rakan.

“Suspek yang bersenjatakan pisau menahan mangsa sebelum merampas telefon bimbit miliknya.

“Mangsa cuba melawan menyebabkan dia mengalami kecederaan di tangan manakala dua lagi rakannya tidak dicederakan,” katanya.

Beliau berkata, suspek turut melarikan pasport, kad pekerja dan wang tunai RM300.

“Susulan laporan diterima, polis menjalankan siasatan sebelum menyerbu sebuah rumah di Taman Asajaya di sini, Selasa lalu.

“Susulan itu, polis memberkas semua suspek kes samun itu. Sebanyak 12 telefon bimbit dipercayai milik pekerja warga asing ditemui semula.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek mendapati mereka positif dadah jenis ganja,” katanya.

Ab Rashid berkata, semua suspek berusia awal 20-an itu ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: January 9, 2015 @ 7:53am
d